Categories
AGENDA NASIONAL

Angka kes baharu Covid-19 turun kepada 3,074 hari ini

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Kes baharu Covid-19 terus menunjukkan penurunan dengan 3,074 kes dilaporkan hari ini berbanding 3,346 semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,805,337 setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula adalah sebanyak 2,828 menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,732,771 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu, sebanyak 99 peratus atau 3,044 kes adalah pesakit Kategori Satu dan Dua manakala hanya 30 kes atau satu peratus Kategori Tiga, Empat dan Lima.

“Sebanyak 193 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 90 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan penularan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 10 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 176, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini kekal pada paras 1.0 semalam.

Mengenai banjir, beliau berkata tiada kes positif baharu Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa bencana itu dan hanya satu kes penyakit berjangkit iaitu Acute Gastroenteritis (AGE) dilaporkan hari ini.

– BERNAMA