Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar desak henti gangguan terhadap penganjur demo kes rasuah

SHAH ALAM, 24 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa menteri dalam negeri dan ketua polis negara menghentikan gangguan terhadap penganjur demonstrasi #TangkapAzamBaki pada Sabtu.

Ketua pembangkang menegaskan siasatan juga perlu dihentikan kerana tindakan itu satu tekanan buat peserta himpunan dalam membanteras gejala rasuah negara ini.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menjelaskan bantahan dan penganjuran demonstrasi secara aman adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, segala siasatan dan intimidasi terhadap mereka mesti segera dihentikan,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan mendesak ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangkap.

Antara yang terlibat ialah Ketua DAPSY Kebangsaan Howard Lee dan aktivis sosial Adam Adli Abdul Halim, namun dilepaskan selepas butiran peribadi mereka direkodkan.