Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan tambah nilai bantuan mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi saranan supaya kerajaan persekutuan menambah nilai bantuan kepada mangsa banjir bagi mengelakkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua pembangkang dalam Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat hari ini menegaskan mangsa banjir dalam terdesak kerana mereka menanggung kerugian besar akibat bencana itu.

“Ada mengatakan perlu beri kelonggaran kepada pencarum ambil wang sendiri. Jika tiada, laluan mudah untuk mereka, kita kena pantau golongan ini. Beri bantuan tambahan bagi mengurangkan beban,” katanya pada 20 Januari.

Namun, Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat menegaskan beliau sama sekali tidak menyokong sebarang idea yang boleh menjejaskan masa depan rakyat termasuk penggunaan dana KWSP.

“Kalau diambil wang ini, lima atau enam tahun setelah bersara tidak ada harapan mereka boleh jamin keselamatan hidup mereka dan keluarga.

“Jadi maknanya menghentikan peluang pencarum mengambil wang KWSP dipersetujui tertakluk dengan syarat peruntukan tambahan kepada mangsa yang berkenaan dan baru ia dapat diimbangi,” katanya.

Pada 4 Januari lalu, Anwar  yang juga ahli parlimen Port Dickson mencadangkan jumlah bantuan antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada mangsa banjir pada kadar segera.