SHAH ALAM, 11 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi ruang kepada badan bebas menyiasat isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki.
Ketua pembangkang itu menegaskan siasatan badan bebas perlu berikutan kes melibatkan pimpinan tinggi suruhanjaya tersebut harus ditangani institusi berwibawa.
“Mereka (SPRM) harus berundur sementara ada siasatan bebas. Tidak mungkin ada siasatan bebas sekiranya dikendalikan jabatan yang sama. Saya tidak bercadang untuk menghukum tetapi hormati proses tetapi ini tidak berlaku.
“Apabila Suruhanjaya Sekuriti hendak siasat SPRM, mereka pula siasat dakwaan pelanggaran peraturan dan rasuah Suruhanjaya Sekuriti,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook malam ini.
Azam didakwa memiliki saham dua syarikat pada 2015 berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, beliau pengarah bahagian siasatan SPRM.
Azam dalam sidang media pada 5 Januari kemudian mendakwa akaun sahamnya digunakan adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kemudian menyatakan setiap akaun sekuriti mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.
Sebaliknya, SPRM hari ini mengesahkan menerima laporan daripada kumpulan masyarakat sivil yang mendakwa terdapat dakwaan rasuah terhadap pegawai kanan SC.