Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Henti pembalakan di lokasi berisiko banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya segera menghentikan pemberian konsesi pembalakan di lokasi berisiko banjir.

“Saya cadangkan hentikan semua termasuk yang diluluskan sehingga dikenal pasti punca kecuali ada kajian mengatakan pembalakan di kawasan itu selamat.

“Jangan beri kelulusan baru kepada pembalakan tanpa mengira darjat, pengaruh politik,” kata ketua pembangkang itu dalam mesyuarat khas Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat balak yang mengakibatkan banjir termasuk mendesak syarikat terlibat membayar ganti rugi kepada mangsa.

“Bila mangsa mengalami kerugian akibat banjir. Kena ada ketetapan untuk syarikat balak bayar sebahagian kerugian kerana cukai saja tidak mencukupi memandangkan pembayaran sedemikian bukan bermaksud mereka boleh merosakkan rumah orang.

“Begitu juga golongan kaya yang meneroka kawasan atau membina kediaman mereka, tetapi menyebabkan kerosakan kepada rumah orang lain,” katanya.