Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: 3,593 keluarga di Hulu Langat terima bantuan RM1,000 setakat semalam

SHAH ALAM, 7 JAN : Seramai 3,593 keluarga terjejas banjir di Hulu Langat menerima bantuan berjumlah RM1,000 setakat semalam, kata pegawai daerahnya.

Dr Ani Ahmad berkata Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM3.593 juta untuk menyalurkan sumbangan melalui inisiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB) tersebut.

“Bagi individu yang belum menerima boleh hadir ke pejabat penghulu dan mengisi borang BSB. Butiran yang perlu diisi dalam borang cukup ringkas untuk memudahkan pemohon,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketua kampung juga turut mengambil inisiatif membuat hebahan melalui media sosial serta membuka kaunter pendaftaran di kampung masing-masing.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.