KUALA LUMPUR, 26 JAN: Peristiwa banjir besar melanda Hulu Langat dekat sini pada 18 Disember lepas bukan sahaja menjejaskan kediaman dan harta benda penduduk malah secara tidak langsung turut ‘memusnahkan’ lokasi pilihan kru penerbitan untuk penggambaran drama atau filem bagi menampilkan latar suasana desa tanpa perlu bergerak jauh.
Tiada lagi keindahan dan kedamaian desa sebaliknya visual perkampungan terletak kira-kira 27 kilometer dari ibu negara itu kini tidak ubah seperti kawasan baharu diteroka manusia akibat dipenuhi lumpur, debu kering dan tanah yang dibawa arus banjir berkenaan.
Pemilik syarikat penerbitan Layar Ceritera Sdn Bhd Along Kamaludin berkata susulan itu beliau perlu mempertimbangkan lokasi pengambaran lain bagi memaparkan suasana desa kerana berpandangan Hulu Langat memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk kembali pulih.
“Uniknya, Hulu Langat adalah kawasan mendamaikan dan agak terpencil daripada hiruk-pikuk kawasan bandar serta terletak paling hampir dengan ibu negara, namun selepas ini saya perlu pertimbangkan lokasi lebih jauh seperti Kuala Selangor dan Tanjong Karang atau luar Lembah Klang,” katanya kepada Bernama.
Along yang juga pengarah drama berkata situasi itu turut menjejaskan ‘periuk nasi’ pemilik kediaman yang menjana pendapatan hasil sewaan rumah mereka yang pernah menjadi latar karya arahannya seperti Cukup Derita Itu, Beret Hijau, Rumah Buat Ibu dan Abang Ngah.
Turut senada, pengarah dan penerbit filem Datuk Yusof Haslam yang memerlukan sehingga RM80,000 bagi membaiki kerosakan akibat banjir di rumah persinggahannya, Teratak Haslam yang sering dijadikan lokasi penggambaran drama dan filem antaranya Gerak Khas, Gerak Khas Undercover dan Khurafat.
“Saya akui, memang ada beberapa tempat di sini, yang disasarkan untuk lokasi penggambaran drama atau filem. Tapi, sekarang ada sesetengah tempat sudah tenggelam dan rosak. Ia mungkin akan mengambil masa untuk kembali pulih,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana kediaman masih teguh berdiri dalam arus deras banjir walaupun banyak yang rosak.
Pemilik kediaman di Kampung Batu 18, Saininah Sarit, 59, pula sebak dan hanya mampu mengalirkan air mata apabila melihat rumah pusaka berusia lebih 100 tahun dengan seni bina tiang tinggi setinggi tujuh kaki ditenggelami bah sehingga paras dada.
Lebih memilukan, dia tidak sempat menyelamatkan semua barang berharga di dalam rumah ikonik itu yang pernah menjadi lokasi penggambaran pelbagai drama, filem dan iklan sejak 1994, termasuk dua almari antik milik arwah bapanya.
“Sekarang, keadaan rumah kosong seperti baru berpindah dengan banyak kesan lumpur di dinding dan saya malu dengan keadaan rumah, takut orang tidak selesa pula nanti,” katanya yang masih belum bersedia hendak menyewakannya bagi sebarang urusan penggambaran sehingga selesai dibaiki sepenuhnya.
Bagi Ruslaini Mohd Said, 68, dia bersedia menerima tempahan daripada pengarah atau penerbit yang mahu menyewa kediamannya untuk menjalani penggambaran sekiranya mereka boleh menerima keadaan rumahnya yang serba kekurangan.
Dia yang mendiami rumah berkenaan dengan suami dan tiga anaknya berkata walaupun bahagian utama rumah tidak banyak terjejas, namun laman yang dahulunya penuh dengan pelbagai pokok dan pokok bunga serta ruang tambahan di bahagian bawah rumah membabitkan dua bilik tidur dan satu stor musnah ditelan bah.
“Rumah saya adalah rumah kampung setinggi 12 kaki. Hanya bahagian bawah rumah terkena banjir, manakala bahagian atas rumah masih dalam keadaan elok.
“Kalau buat penggambaran, ikutlah pada kehendak mereka, bahagian mana yang mereka mahukan,” katanya yang mula menjadikan kediamannya di Batu 16, Dusun Tua sebagai lokasi penggambaran sejak 1980-an.
-BERNAMA