Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: Lebih 15,000 keluarga terima bantuan RM1,000 setakat pagi tadi

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 15,174 keluarga terjejas banjir menerima bantuan berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Selangor berbelanja RM15.234 untuk menyalurkan sumbangan melalui inisiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Facebook, satu waris korban di Kuala Langat menerima RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan penerima kategori kepada enam setakat ini.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 5,487 isi rumah diikuti 2,602 penduduk Hulu Langat manakala 2,304 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 1,845 di Kuala Langat, Kuala Selangor (1,502), Sepang (904), Gombak (444), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI