Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir: Mais sumbang 150 set lapik tidur, beras kepada mangsa

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbangkan 150 set lapik tidur untuk diagih kepada mangsa banjir sekitar Klang, semalam.

Agensi itu memaklumkan sebanyak 50 set beserta selimut, 50 kotak makanan dan 500 kilogram (kg) beras diserahkan kepada Yang Di Pertua Sahabat Hospital Selangor, Mahat Tumin di Masjid Ar Rahimah untuk diagih kepada individu terjejas.

Manakala 100 lagi set lapik tidur diserahkan kepada wakil Perkim Kapar, Muhamad Rafie Rahman.

“Alhamdulillah, sumbangan terus diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir sekitar Kampung Perepat dan Sementa Klang,” kata Mais di Facebook.

Kelmarin, Mais menyalurkan bantuan keperluan asas kepada empat sekolah tahfiz sekitar Kuala Selangor yang terjejas akibat banjir.

Agensi berkata bantuan beras, lapik tidur dan barangan makanan asas disalur kepada Akademi Shahadah Tahfiz Al Faizin Banat di Parit Mahang dan Maahad Tarbiah Gontory Banat Bukit Hijau, Jeram.

Turut menerima sumbangan tersebut ialah Maahad Tarbiah Islamiah Al-Ansar di Bestari Jaya dan Maahad Tahfiz Diniah Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

MAIS turut menyerahkan sumbangan 50 kotak makanan untuk mangsa banjir sekitar Klang. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor