Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan banjir: Team Selangor agih dapur masak, set penjagaan kesihatan

SHAH ALAM, 17 JAN: Sukarelawan Team Selangor akan mengagihkan bantuan kepada 450 lagi keluarga yang terjejas banjir bermula minggu ini, maklum ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata edaran beras, bakul makanan, dapur masak, set penjagaan diri dan kesihatan, sabun basuh serta sejadah bagi meringankan beban ditanggung mangsa bencana bulan lepas.

Menurutnya, lokasi yang dikenal pasti untuk agihan sumbangan itu adalah Batu Tiga, Sungai Pelek, Seri Serdang, Dengkil, Kota Kemuning dan Ijok.

“Kita masih mempunyai baki barang bantuan berkaitan untuk diagih kepada mereka yang memerlukan. Pegawai kita sudah berurusan dengan pusat khidmat masyarakat dan ketua kampung untuk proses penghantaran.

“Agihan bantuan ini dibuat mengikut keperluan yang mana bukan semua tempat akan memperoleh barang sama,” katanya kepada Selangorkini.

Sejak banjir melanda negeri ini tahun lalu, Team Selangor menyantuni lebih 3,000 rumah yang terkesan akibat banjir melibatkan 71 lokasi dengan disertai lebih 1,200 sukarelawan.

Sukarelawan terbabit melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya membersihkan rumah, mengagih air minuman serta membungkus dan menghantar bakul makanan.

Individu berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau hubungi 013-5303578 untuk sebarang pertanyaan.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.