Categories
PBT SELANGOR

Buang sisa sembelih ayam dalam longkang, empat peniaga ditarik lesen

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan kompaun RM500 terhadap empat peniaga di Pasar Harian Taman Desa Jaya, Gombak kerana menyembelih ayam di premis sehingga mencemarkan persekitaran.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporatnya Ahmad Fauzi Ishak berkata lesen peniaga terbabit turut ditarik kerana melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Pelesenan Makanan (MPS) 2007.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka menyembelih ayam pada awal pagi dan membuang sisa bulu, darah dan organ ayam di longkang belakang pasar menyebabkan bau busuk serta kotor di kawasan persekitaran.

“Tindakan itu melanggar syarat lesen yang hanya membenarkan peniaga menjual ayam telah siap diproses dan tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti penyembelihan di premis.

“MPS mengingatkan semua peniaga agar menjaga kebersihan premis dan menjalankan perniagaan dengan mematuhi syarat terkandung dalam lesen masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata pihaknya memburu seorang individu yang dikesan menerusi kamera litar tertutup sedang membuang sampah secara haram dan pembakaran terbuka di Taman Raintree, Batu Caves pada 9 Januari lalu.

“MPS akan membuat carian dan pesalah akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Akta UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007,” katanya.