Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Pelabuhan Klang belanja lebih RM100,000 bantu mangsa bah

KLANG, 13 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang membelanjakan lebih RM100,000 bagi membantu mangsa banjir di kawasan itu setakat ini.

Wakil rakyat Azmizam Zamanhuri berkata daripada jumlah itu pihaknya menyumbangkan bakul makanan dan kelengkapan tidur seperti tilam dan lapik tidur.

“Hampir 5,000 rumah di Pelabuhan Klang ditenggelami banjir dalam kejadian Disember tahun lalu dan Alhamdulillah rata-rata penduduk semua kita bantu.

“Terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu yang turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa terjejas bah di sini,” katanya ketika ditemui.

Azmizam turut menyarankan mana-mana pihak yang mahu membantu boleh menyalurkan terus kepada mangsa tanpa melalui pejabatnya.

“Mangsa banjir yang memerlukan bantuan juga boleh tampilkan diri ke pusat khidmat masyarakat DUN Pelabuhan Klang dan kita akan membantu,” katanya.

Antara kawasan ditenggelami air di Pelabuhan Klang akibat banjir pada 18 Disember lalu adalah Pandamaran Jaya, Kampung Idaman, Kampung Pulau Indah, Kampung Pendamar, Kampung Telok Gong dan Kampung Telok Indah.

Lokasi lain turut terjejas antaranya Taman Selat Damai, Taman Selat Selatan, Taman Suria, Taman Telok Gedung Indah dan Pekan Pelabuhan Klang.