Categories
ADN SELANGOR

DUN Pelabuhan Klang terima 3,000 permohonan bantuan pascabanjir

SHAH ALAM, 6 JAN: Lebih 3,000 permohonan bantuan RM1,000 diterima daripada mangsa banjir sekitar Pelabuhan Klang setakat ini, kata ahli dewan negerinya.

Azmizam Zaman Huri menjelaskan ada sebahagian daripada mereka sudah menerima bantuan melalui inisiatif Selangor Bangkit yang dibayar secara berperingkat oleh pejabat tanah dan daerah.

“Berdasarkan kiraan, hampir 5,000 penduduk di Pelabuhan Klang terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini dengan lebih 3,000 daripadanya sudah menghantar permohonan.

“Hampir 90 peratus daripada mereka mengemukakan dokumen lengkap seperti salinan kad pengenalan, bil air, elektrik dan gambar kejadian semasa menghantar permohonan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Antara kawasan ditenggelami air di Pelabuhan Klang akibat banjir pada 18 Disember lalu adalah Pandamaran Jaya, Kampung Idaman, Kampung Pulau Indah, Kampung Pendamar, Kampung Telok Gong dan Kampung Telok Indah.

Lokasi lain turut terjejas antaranya Taman Selat Damai, Taman Selat Selatan, Taman Suria, Taman Telok Gedung Indah dan Pekan Pelabuhan Klang.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung bulan ini.