Categories
AGENDA NASIONAL

Empat warga asing didenda, penjara seleweng gas bersubsidi

SHAH ALAM, 26 JAN: Seorang daripada empat warga asing didenda RM60,000 kerana menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan sejumlah RM65,310.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata sekiranya gagal membayar denda, pelaku dipenjara 10 bulan manakala tiga lagi individu dipenjara 10 bulan.

Menurut Muhammad Zikril Azan Abdullah suspek masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Shah Alam ketika dibicarakan pada 13 dan 24 Januari lalu.

“Kesalahan adalah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 (tidak mempunyai lesen atau menjual barang kawalan),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata dalam serbuan di premis tidak berlesen di Bukit Kemuning pada November tahun lalu, pihaknya turut merampas 204 unit tong LPG seberat 14 kilogram (kg), 71 tong LPG (50 kg) dan beberapa barangan lain.

KPDNHEP turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat lebih bertanggungjawab menjalankan perniagaan dan tidak melakukan penyelewengan terutama membabitkan barangan bersubsidi.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi berikut:

  • Portal e-aduan.kpdnhep
  • Call Centre 1-800-886-800
  • EmelĀ [email protected]
  • Ez ADU KPDNHEP
  • Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor di talian 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485
  • WhatsApp 019-279 4317