Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fokus baik pulih banjir di Lembah Klang, jaga kepentingan pusat ekonomi negara

SHAH ALAM, 21 JAN: Proses membaik pulih banjir di Lembah Klang perlu difokuskan kerana kawasan itu merupakan pusat ekonomi Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Raja berkata semua sedia maklum bahawa Lembah Klang pusat ekonomi yang mana penduduknya daripada golongan berpendapatan tinggi hingga rendah (B40).

Oleh demikian, tegas Mohamad Sabu, Kerajaan Pusat perlu menjaga Lembah Klang dengan melakukan pembaikan kerana rakyat tidak marah dan terus bersetuju untuk sama-sama menangani masalah ini.

“Selain itu, agensi yang menjaga laporan cuaca seharusnya perlu lebih teliti. Laporan cuaca hanya menyebut hujan lebat berlaku di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang tetapi tidak di Selangor.

“Ertinya Selangor diramal berlaku hujan dan petir dan hanya menyebut berada di kawasan merah di seluruh Lembah Klang apabila banjir berlaku,” katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad menyifatkan Kerajaan tidak serius dalam menangani masalah banjir kerana tidak membincang dan membahas perkara itu pada 20 Disember lalu.

Malah, Khalid turut memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang seharusnya dibincangkan pada hari itu juga tidak dibahas.

“Berapa banyak pembaziran yang dilakukan dengan memanggil wakil rakyat di seluruh negara tetapi tiada perbincangan selain isu banjir juga tidak dibahas walaupun diminta.

“Rakyat memohon pertolongan tetapi tiada tindakan. Jangan beri alasan remeh dan membazir duit rakyat serta negara,” katanya.