Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 60,000 individu ambil dos penggalak negeri

SHAH ALAM, 19 JAN: Hampir 60,000 individu menerima dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster sejak dilancarkan Disember tahun lalu.

Ketua pegawai kewangan Selgate Healthcare Sdn Bhd menganggarkan hampir ribuan individu menerima suntikan setiap hari di 17 Klinik Selcare termasuk Kuala Lumpur.

Muhammad Azfizam Hamzah menjelaskan program itu mendapat sambutan baik apabila pradaftar suntikan untuk bulan ini habis ditempah manakala slot Februari hampir penuh.

“Ramai yang mahukan vaksin jenis Sinovac. Beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) turut melaksanakan program ini bagi memudahkan penduduk mendapatkan dos penggalak,” katanya ketika dihubungi.

Program Selvax Booster yang dilaksana sejak 8 Disember 2021 memperuntuk sebanyak 157,000 dos buat individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap suntikan vaksin.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).