KOTA BHARU, 26 JAN: Menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, kerepek ngaku atau sengkuang cina pastinya menjadi kudapan pilihan masyarakat Cina kerana ia adalah sejenis ubi yang bermusim setahun sekali antara Disember hingga Februari sahaja.
Peniaga kerepek ngaku, Rohayu Wahidin, 35, berkata dia tidak menang tangan untuk menyiapkan permintaan penggemar kerepek ngaku kerana rata-rata pelanggannya sudah mengetahui bila musim ubi ngaku akan muncul.
“Idea untuk mengusahakan ubi ngaku ini tercetus apabila melihat Facebook rakan saya membuat kerepek tersebut dan suatu hari apabila saya pergi ke sebuah pasar raya di Kota Bharu, saya ternampak ada jual ubi ngaku dan terus membelinya untuk cuba memproses ubi ini di rumah.
“Kita boleh makan ubi ngaku ini sekali setahun sahaja, musim lain memang sukar untuk menemuinya, sebab itulah ia unik dan ramai tidak tahu mengenai ubi ngaku ini,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya dekat Kampung Panji, di sini baru-baru ini.
Wanita berasal dari Bukit Sagu di Kuantan, Pahang itu berkata selepas meletakkan gambar kerepek ngaku di Facebook, permintaan terhadap kerepek itu masih mendapat sambutan meskipun harganya agak mahal berbanding jenis kerepek sedia ada di pasaran.
“Saya menjual ubi ngaku ini dengan harga sangat berpatutan mengikut saiz berat yang diletakkan di dalam balang kerana harga ubi ngaku mentah adalah sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram.
“Bagi saiz paling kecil iaitu saiz ‘S’ beratnya adalah 80 gram (g) dijual dengan harga RM10, saiz ‘M’ (130g) bernilai RM17 dan saiz ‘L’ (320g) berharga RM34,” katanya yang telah menetap di Kelantan lebih sembilan tahun.
Rohayu berkata kaedah untuk memproses kerepek ngaku ini tidaklah sukar kerana ia sama seperti pembuatan kerepek ubi lain yang perlu dikupas kulitnya sebelum digoreng.
“Selepas kulit ubi ngaku ini dikupas kulitnya, kita perlu basuh dan sagat ubi ini sebelum dimasukkan ke dalam minyak yang mendidih bagi mengelak ia melekat, setelah garing ia ditos dan disejukkan.
“Kerepek ngaku yang original tidak perlu diletakkan garam, namun terdapat sesetengah pelanggan gemarkan rasanya sedikit masin,” katanya.
Katanya, bagi musim ini, lebih 70 kilogram kerepek ngaku yang diusahakannya dijual secara dalam talian dan kaedah bayar selepas terima (COD) atau penghantaran kepada pelanggannya dari serata tempat sama ada dalam atau luar negara seperti Singapura.
“Pelanggan kerepek ngaku ini terdiri daripada pelbagai kaum, Cina, Melayu dan India. Kerepek ini rangup, rasa lemak, manis dan masin.
“Kerepek ngaku ini dipercayai mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan malah jualan secara kecil-kecilan dari rumah ini, saya dapat meraih pendapatan secara purata kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.
Rohayu berharap perniagaan yang diusahakannya ini mendapat bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan seperti mesin sagat, mesin pengering minyak dan set dapur.
-BERNAMA