Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN:  Rehatkan Abu Zahar, lembaga penasihat SPRM perlu diganti kepimpinan baharu 

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan  (HARAPAN) mahu Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan panel perundingannya diganti dengan kepimpinan baharu yang lebih bebas.

Tindakan tersebut perlu dilakukan bagi memulihkan kembali kredibiliti dan integriti suruhanjaya itu, tegas majlis berkenaan.

“Perlu ada pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah) dan PPPR (Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah) agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula,” kata majlis itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Kenyataan itu berkata, HARAPAN telah meneliti kenyataan enam  ahli LPPR sebelum ini menjauhkan diri mereka daripada kenyataan pengerusinya Tan Sri Abu Zahar Ujang yang cuba membersihkan nama ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam  Baki.

“Kenyataan media enam ahli LPPR amat mengejutkan dan membuka mata seluruh negara kepada kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM,” kata kenyataan itu.

Jelasnya SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap ketua pesuruhjaya sendiri. “Siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan,” katanya.

Tambah majlis itu, kenyataan enam ahli LPPR menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini dan dipercayai ahli LPPR.

“Oleh itu Tan Sri Abu Zahar perlu direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap ketua pesuruhjaya,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, HARAPAN juga menggesa Pengerusi PPPR Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai.

Ini kerana beliau enggan menyiasat ketua pesuruhjaya SPRM meskipun terdapat kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang apabila membenarkan akaun saham digunakan adiknya melibatkan jutaan saham dan waran, kata kenyataan itu.