Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ibu bapa diminta lakukan pemeriksaan kesihatan jika khuatir terima vaksin untuk anak

SHAH ALAM, 31 JAN: Ibu bapa disaran melakukan pemeriksaan kesihatan kepada anak masing-masing terlebih dahulu jika bimbang untuk menerima vaksin Covid-19.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor berkata langkah itu bagi memastikan ibu bapa yakin dengan tahap kesihatan anak mereka.

“Sebenarnya tidak ada masalah dan kebiasaannya jika ada penyakit kebanyakan ibu bapa sudah tahu lebih awal tetapi jika takut sangat untuk terima vaksin boleh buat pemeriksaan kesihatan dulu.

“Jika dalam tempoh lapan tahun ini tiada apa-apa, mak ayahnya pun sihat tidak pernah ada kanser, insya-Allah genetik anak pun akan ok dan sihat,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika dihubungi.

Beliau berkata ibu bapa tidak seharusnya khuatir kerana dos yang diberikan tidak sama dengan dos disuntik kepada mereka.

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ada yang gusar dengan bengkak jantung, kematian selepas divaksin hakikatnya risiko mendapat bengkak jantung, kematian adalah lebih tinggi jika mendapat Covid-19,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak.

“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya.