Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perikanan: Penternak akuakultur rugi RM28 juta akibat banjir

SHAH ALAM, 13 JAN: Penternak akuakultur di negeri terjejas banjir mengalami kerugian berjumlah RM28 juta manakala bagi myKomuniti Perikanan iaitu pengusaha Perikanan (myAP) dan Nelayan Darat dianggarkan RM800,000, menurut laporan awal Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai jumlah bantuan yang diperlukan melalui Program Permulaan Semula Agromakanan (tabung bencana) dan ia akan dimajukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Bantuan yang disalurkan adalah tertakluk kepada kadar dan had yang ditetapkan iaitu bantuan sehingga 50 peratus daripada kos operasi (benih, peralatan dan makanan ternakan) mengikut sistem ternakan pengusaha.

“Had bantuan yang akan diberi juga tidak melebihi 50 peratus nilai kerugian yang dilaporkan dan disahkan oleh Pejabat Perikanan Daerah/Negeri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bantuan yang akan diberi sama ada berbentuk input pertanian atau peralatan/mesin, peralatan perniagaan atau lain-lain untuk membantu memulihkan projek kumpulan sasar serta mekanisasi dan automasi ladang.

Menurut DOF, bagi sektor perikanan, takrifan kumpulan sasar adalah penternak akuakultur berskala kecil yang menjalankan aktiviti penternakan air tawar dan air payau serta hatcheri (panti benih) di kawasan sehingga dua hektar atau menggunakan sangkar/kandang yang tidak melebihi 15 unit.

DOF memaklumkan pengusaha terjejas boleh menghantar permohonan ke Pejabat Perikanan Daerah/Negeri dengan disertai dokumen lengkap yang berkaitan.

Dokumen yang diperlukan termasuk borang permohonan bantuan (perlu disahkan oleh Pengarah Perikanan Negeri), senarai nama, salinan kad pengenalan dan laporan polis (satu laporan satu kawasan/satu kerosakan/kerugian).

Dokumen lain ialah laporan siasatan oleh jawatankuasa teknikal, gambar/video berkaitan bencana, anggaran kerugian dan perakuan permohonan di peringkat negeri atau setara.

— BERNAMA