Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan takut ambil dos penggalak, berkesan tingkat daya tahan badan

SHAH ALAM, 29 JAN: Orang ramai diseru mengambil dos penggalak bagi melawan varian baharu Covid-19 selain membina imuniti untuk mengurangkan kesan teruk jangkitan virus.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) juga meminta masyarakat tidak bimbang terhadap kesan sampingan ringan kerana badan sedang membentuk daya tahan.

“Majoriti penerima dapat kesan ringan seperti demam dan badan lesu, itu tanda bagus sebab ada tindak balas serta badan telah bina imuniti,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan peratusan kematian atau strok akibat dos penggalak juga terlalu kecil dan jarang berlaku selain menasihatkan masyarakat tidak gusar terhadap maklumat tular di media sosial.

Jelasnya, suntikan ketiga terbukti berkesan bagi mengelakkan pesakit Covid-19 menjadi lebih kritikal berdasarkan kajian dan sains sebelum ini.

“Sebab itu semua perlu ambil dos penggalak untuk tingkat daya ketahanan badan, contohnya mereka yang lengkap vaksin Sinovac selepas tiga bulan mungkin antibodinya kurang 18 peratus.

“Bila dapat suntikan dos penggalak jenis Pfizer-BioNTech kadar imuniti boleh meningkat 88 peratus, ini dapat mengurangkan kesan walaupun dijangkiti Covid-19,” jelas Dr Mohammad Farhan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk makan dan minum sebelum mengambil suntikan, mendapatkan rehat secukupnya serta tidak melakukan aktiviti berat dalam tempoh dua minggu.

Pemberian dos penggalak giat dilakukan di seluruh negara termasuk program Vaksin Selangor (Selvax) Booster anjuran Kerajaan Selangor sejak 8 Disember lalu.

Program negeri itu menyediakan sebanyak 157,000 dos buat individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap suntikan vaksin, yang boleh didapati di semua Klinik Selcare.