Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 naik 3,684 kes, 99.1 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,684 kes berbanding 3,198 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,798,917 setakat 12 tengah hari tadi.

Angka tersebut adalah tertinggi dalam tempoh dua minggu sejak 30 Dis lepas yang mencatatkan 3,997 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula mencatat 3,292 kes, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,726,891 kes.

“Daripada 3,684 kes harian dilaporkan hari ini, 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,650 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 192 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 91,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lapan kluster baharu turut dikenal pasti dengan 178 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.99, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 470 kes seperti dimaklumkan semalam kerana tiada pertambahan kes baharu dilapor setakat 3 petang ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan empat kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu yang merangkumi dua kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan dua kes penyakit kulit.

— BERNAMA