Categories
AGENDA NASIONAL

JPS: Air pasang besar di empat negeri mulai hari ini hingga Rabu

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada, berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

“Walaupun fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lepas, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Keadaan tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Justeru, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.

– BERNAMA