Categories
AGENDA NASIONAL

KDEBWM agih RM60,000 bantu staf agensi negeri terjejas bah

SHAH ALAM, 28 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) membelanjakan RM60,000 untuk membantu kakitangan agensi negeri yang terkesan akibat banjir besar hujung tahun lalu.

Sumbangan itu sebahagian daripada dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meringankan beban mangsa dalam insiden 18 Disember lalu, kata pengarah urusannya.

“Kita ada bantu beberapa agensi yang memerlukan sebelum ini. Bantuan diagihkan tidaklah besar mana namun diharap dapat meringankan beban mangsa banjir.

“Pada hari ini, kita sumbang RM10,000 kepada kakitangan Media Selangor yang terkesan,” kata Ramli Mohd Tahir selepas menyerahkan bantuan itu pejabat Media Selangor di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Ashaaree berkata seramai 13 kakitangan terjejas bah hingga mengakibatkan perkakas dan perabot rumah rosak.

“Bencana ini turut memberi kesan kepada emosi mangsa, namun kita amat bertuah kerana warga kerja Media Selangor prihatin terhadap rakan-rakan yang terjejas,” katanya.

Taburan hujan luar biasa di antara 100 milimeter (mm) ke 400 mm secara berterusan mengakibatkan banjir di 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor antara 17 hingga 20 Disember lalu.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Shah Alam dan sekitar Hulu Langat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management Ramli Mohd Tahir (tengah) bergambar bersama kakitangan Media Selangor selepas menyerahkan bantuan banjir di pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 28 Januari 2022. Foto Facebook KDEB Waste Management