Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM pelawa sewakan pengorek kaut, percepat keluarkan sampah bah

SHAH ALAM, 3 JAN: Individu atau syarikat yang memiliki pengorek kaut dipelawa menyewakan kemudahan itu bagi melancarkan proses pengeluaran sampah banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

Ia susulan KDEB Waste Management (KDEBWM) kekurangan jentera bagi mengangkut lambakan kayu, almari dan besi dari kawasan terbabit, kata Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir.

“Sampah di Taman Sri Muda sangat banyak dan kita memohon maaf kepada penduduk sekiranya ia lambat dikeluarkan kerana kekurangan pengorek kaut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan kerja pembersihan longkang, jalan dan parit tersumbat akan dibuat sebaik proses kutipan sisa pascabanjir di seluruh kawasan selesai.

Ramli turut meminta penduduk setempat membantu pekerja KDEBWM memasukkan sampah ke dalam lori supaya proses kutipan lebih lancar dan pantas.

“Tumpuan kita bukan hanya keluarkan sampah dari rumah mangsa tetapi operasi pembersihan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyewakan pengorek kaut boleh merujuk Facebook dan laman web syarikat itu atau hubungi pengurus operasi Taman Sri Muda, Rizal di talian 013-3228231.

Sebelum ini, Ramli memaklumkan proses kutipan sisa pascabanjir dari kawasan terjejas mencecah 85 peratus, manakala 65 peratus di Taman Sri Muda dan dijangka selesai antara Khamis hingga Ahad.