Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor gesa badan bebas pantau siasatan ketua pesuruhjaya SPRM

SHAH ALAM, 9 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menggesa siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dipantau badan bebas.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Halimey Abu Bakar berkata tindakan berkenaan bagi memastikan tidak ada tangan ghaib mengganggu proses siasatan tersebut.

Beliau juga menggesa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM selepas ini perlu melalui proses dan dipantau Parlimen Malaysia bagi memastikan seseorang individu berwibawa dan bebas dari pengaruh politik.

“Cukuplah dengan bala yang menimpa negara dengan urus tadbir lemah, ditambah lagi dengan agensi penguatkuasa yang bobrok,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azam didakwa memiliki saham dua syarikat pada 2015 berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, beliau pengarah bahagian siasatan SPRM.

Azam dalam sidang media pada 5 Januari kemudian mendakwa akaun sahamnya digunakan adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kemudian menyatakan setiap akaun sekuriti mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.