SHAH ALAM, 1 JAN: Orang awam menganggap keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sambutan tahun baharu dan menggantikan dengan program keagamaan sebagai tindakan tepat.
Siti Zaliha Abdul Rani, 52, berkata program keagamaan seperti Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 itu wajar diteruskan terutama ketika negara khususnya negeri ini sedang dilanda banjir.
“Program ini bagus dan seharusnya tidak dilakukan ketika waktu bencana sahaja tetapi diteruskan pada bila-bila masa kerana banyak manfaat.
“Dua anak perempuan juga membuat keputusan mengikut ke Masjid Negeri apabila dapat tahu saya dan suami mahu menyertai program ini,” katanya kepada pemberita.
Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Ahmad Ridhauddin Rahmat, 47, berkata beliau berharap program keagamaan itu diberkati dan doa semua dimakbulkan Allah.
“Program dijalankan bagus terutama kita dalam keadaan selepas banjir. Moga setiap doa kita diperkenan Allah dan memberi sinar baharu kepada semua,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sambutan Tahun Baharu 2022 peringkat negeri dibatalkan dan diganti dengan program keagamaan.
Dato Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menganjurkan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat sebagai menghormati serta bersimpati kepada mangsa banjir.