Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama Shoraka, Hijrah bantu peralihan tawaran kewangan patuh syariah

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Shoraka Digital Ventures (SDV) menerusi syarikat permulaan penyelesaian teknologi kewangannya, Shoraka Global Resources Sdn Bhd (SGR), telah memeterai kerjasama strategik dengan Yayasan Hijrah Selangor bagi memudahkan peralihan tawaran kewangan konvensional kepada patuh syariah.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, kedua-dua syarikat berkata kerjasama itu akan membolehkan penerima kredit mikro yang kebanyakannya daripada golongan B40 mendapat akses perkhidmatan kewangan Islam dan pembiayaan secara patuh syariah.

Pengarah Urusan SDV Johar Amat menyifatkan usaha itu sebagai satu kejayaan penting untuk Shoraka dan selaras dengan aspirasi kumpulan untuk memudahkan pengembangan penawaran kewangan Islam kepada semua segmen masyarakat, termasuk yang kurang berkemampuan.

“Menerusi kerjasama ini, kami ingin menjadi fasilitator kepada Yayasan Hijrah Selangor untuk menyediakan produk dan penyelesaian patuh syariah kepada penerima mereka.

“Saya menjangkakan perkongsian kedua-dua pihak ini akan berjaya dan dapat mempercepat digitalisasi penyelesaian fintech Islam untuk rakyat Selangor dan berharap dapat bekerjasama lebih jauh dengan Yayasan Hijrah Selangor dalam bidang teknologi digital,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis pemeteraian itu di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata kerjasama dengan Shoraka akan menumpukan bidang-bidang yang dapat membantu kedua-dua pihak saling memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Salah satu objektif Yayasan Hijrah Selangor adalah memberi pinjaman mikro kredit kepada usahawan kecil Selangor bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan serta meningkatkan modal.

– BERNAMA