Categories
AGENSI SELANGOR

Kes dera kanak-kanak, keganasan rumah tangga antara 30 aduan ketika banjir

SHAH ALAM, 2 JAN: Sebanyak 30 aduan termasuk kes dera dan keganasan rumah tangga diterima menerusi talian SELamat dalam tempoh banjir dan pascabanjir setakat 30 Disember lalu.

Tanpa memperinci kes berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki menjelaskan panggilan membabitkan kes dera diterima daripada jiran mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Kamariah Ahmad Subki memegang plakad ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ sempena pelancaran talian khas SELamat
di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ada kes kanak-kanak melarikan diri ketika banjir kerana didera bapa. Bagi kes penderaan, ia dirujuk kepada Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).

“Ada juga kes tertekan akibat kejadian banjir dan kes ini telah pun berjaya diselamatkan,” katanya sambil menambah kes keganasan rumah tangga juga ada diterima.

Siti Kamariah berkata pihaknya juga ada menerima panggilan daripada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang meminta dos penggalak lantaran bimbang dijangkiti Covid-19.

Dibangunkan untuk aduan keganasan rumah tangga, talian SELamat beroperasi 24 jam sejak 3 November menerusi talian 03-64195027 yang dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor dan sukarelawan terlatih.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM100,000 untuk membangunkan talian tersebut, sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.