Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 12,000 mangsa banjir Petaling terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 25 JAN: Seramai 12,461 keluarga terjejas banjir sekitar Petaling pada Disember menerima wang tunai RM1,000 menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat semalam.

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata sumbangan melibatkan peruntukan sebanyak RM12.461 juta yang dikeluarkan Kerajaan Negeri.

“Dalam masa terdekat seramai 1,300 mangsa akan menerima bantuan masing-masing dan memerlukan kira-kira RM3.5 juta lagi untuk diagih kepada mangsa.

“Jumlah keseluruhan penerima masih belum diperoleh memandangkan permohonan BSB ini dibuka sehingga 31 Januari,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Setakat 10 pagi semalam seramai 46,147 keluarga banjir menerima bantuan membabitkan peruntukan RM46.267 juta termasuk agihan RM120,000 kepada 12 waris korban.

Kerajaan Selangor pada 21 Disember mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.