Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 2,000 mangsa banjir di Bukit Melawati terima bantuan RM1,000

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Seramai 2,058 mangsa banjir bulan lalu di sekitar Bukit Melawati menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sebanyak RM1,000.

Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata semua penerima itu melibatkan mangsa yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Untuk bantuan mereka yang tidak pindah ke PPS dan kekal di rumah pula, kita tengah selaraskannya kerana terdapat permohonan bertindih.

“Jadi untuk keadilan semua, kita perlukan masa untuk menyemak. Apabila proses ini selesai, bantuan akan terus diberi,” katanya ditemui pada majlis penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Setakat kelmarin bantuan berkenaan memberi manfaat kepada 40,917 keluarga terkesan membabitkan peruntukan RM41.037 juta.