Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 4,700 sukarelawan negeri bantu bersihkan lokasi bah

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 4,783 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan bagi membantu pembersihan pascabanjir di kawasan terjejas bencana di negeri ini mulai 19 Disember lalu.

Pembersihan di Petaling melibatkan 2,291 orang, Hulu Langat (1,301), Sepang (310), Kuala Langat (264), Klang (247), Kuala Selangor (226), Gombak (112) dan Hulu Selangor (32).

EXCO pembangunan generasi muda berkata kapasiti sukarelawan bergantung lokasi yang parah antaranya Petaling dan Hulu Langat yang memerlukan banyak tenaga kerja.

“Matlamat kita supaya kerja pembersihan dapat diselesaikan segera di samping memberi keselesaan kepada mangsa,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau turut mempelawa individu yang berminat menjadi sukarelawan negeri untuk mendaftar di laman web Majlis Sukan Negeri Selangor.

Orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan pembersihan pascabanjir boleh menghubungi Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor di talian 011-57529196/011-5752939.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor, terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dengan beberapa misi bantuan digerakkan sejak tahun lalu.