Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 70 peratus daripada 68 lokaliti terjejas banjir di Klang dibersihkan

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 73.5 peratus daripada 68 lokaliti terjejas banjir di Klang berjaya dibersihkan sepenuhnya Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang, setakat semalam.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata baki 18 kawasan iaitu 15 berada pada tahap 90 peratus manakala tiga lagi 20 peratus.

“Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang sentiasa menjalankan pemantauan dan penyelarasan harian bagi memastikan proses pemulihan pascabanjir di daerah ini dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis agihan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal merangkap Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mangsa banjir mendaftar kehadiran sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mohd Faizal yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Klang menjelaskan Pejabat Kesihatan Klang turut menjalankan pemeriksaan dan penilaian terhadap risiko penyakit pascabanjir.

“Pemeriksaan ini dibuat bagi mengenal pasti risiko penyakit seperti denggi, leptospirosis, meliodosis, penyakit bawaan air dan Covid-19 supaya ia dapat dicegah serta dikawal pada peringkat awal,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.