SHAH ALAM, 4 JAN : Pasukan bola sepak UiTM FC menamatkan saingan peringkat kumpulan A Liga Super Wanita FAS dengan bergaya apabila menewaskan Radia Ladies 9-0 dalam perlawanan malam tadi.
First 11 FC juga dalam kumpulan A pula dibelasah oleh The Footsouls dengan jaringan 0-7.
Liga yang memasuki minggu kelima di Radia Arena Bukit Jelutong turut menyaksikan MBSJ FC dan NSW FC seri 0-0 dalam aksi kumpulan B.
SA United FC pula berjaya menempah slot ke pusingan suku akhir apabila meledak gol 1-0 menewaskan pasukan Rhym Rovers juga dalam kumpulan B.
Dalam cabutan undian, FC Swat, UiTM FC, First 11 FC, The Footsouls dan Radia Ladies berada dalam kumpulan A manakala kumpulan B – Leopard FC, MBSJ FC, SA United, Ryhm Rovers dan NSWFC.
Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati dan perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya pada hujung Januari.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.