Categories
AGENDA NASIONAL

LLM: Syarikat konsesi diminta buat persediaan tampung aliran trafik Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat persediaan rapi agar perjalanan pengguna selamat dan lancar sepanjang cuti hari minggu dan Tahun Baharu Cina bermula 28 Jan hingga 7 Feb.

Ia berikutan jangkaan berlakunya peningkatan jumlah aliran trafik yang menggunakan lebuh raya sehingga 4.6 juta kenderaan sehari.

LLM dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa semua kerja pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong di laluan utama lebuh raya akan dihentikan kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes kecemasan sahaja.

“Semua lorong di plaza tol akan beroperasi dan lorong berlapis tambahan disediakan di plaza tol yang dikenal pasti bakal berlaku kesesakan. Petugas tambahan juga ditempatkan bagi membantu melancarkan transaksi tol,” katanya.

Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam. Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.

– BERNAMA