Categories
AGENSI SELANGOR

LZS buka permohonan bantuan banjir LZSPeduli fasa kedua

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan LZSPeduli bagi fasa kedua bermula pada 1 Januari hingga 2 petang, 31 Januari 2022 untuk memberi peluang kepada mangsa banjir yang tidak berkesempatan membuat permohonan sebelum ini.

Permohonan bantuan banjir tersebut boleh dilakukan secara dalam talian di www.zakatselangor.com.my/lzspeduli .

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop dalam kenyataan semalam memaklumkan bagi fasa pertama yang ditutup pada 30 Disember, pihaknya telah menerima 35,000 permohonan, iaitu melebihi jangkaan.

LZS membuka permohonan fasa pertama bantuan banjir LZSPeduli secara dalam talian pada 23 Disember dan berakhir pada 30 Disember 2021.

“Pada masa ini, kami sedang giat memproses baki permohonan fasa pertama yang diterima. LZS juga telah menyegerakan pembayaran bantuan LZSPeduli yang mula disalurkan pada 28 Disember secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata bagi golongan tidak mahir dengan teknologi terutamanya warga emas untuk memohon bantuan secara dalam talian, permohonan secara manual boleh dibuat dengan mengunjungi cawangan LZS berhampiran.

“Bagaimanapun, LZS amat menggalakkan saudara terdekat atau jiran membantu golongan ini untuk membuat permohonan melalui portal LZSPeduli kerana ia lebih cepat dan mudah,” katanya.

– BERNAMA