Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir guna wang sumbangan MBI beli baju sekolah, buku

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Bantuan RM100 diterima menerusi Program Kembali ke Sekolah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI digunakan untuk membeli keperluan sekolah yang rosak akibat banjir.

Marjina Nagor Assan Gani

Marjina Nagor Assan Gani,16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor berkata pakaian serta buku hilang selepas rumahnya di Batu 6, Kampung Kuantan dinaiki air setinggi satu meter.

“Duit ini nak beli barangan persekolahan Mac ini. Kotak pensil, buku tulis semua tak ada. Baju seragam sekolah pun tiada, hanya tinggal baju sukan sahaja,” katanya ditemui pada program bantuan wang persekolahan DUN Bukit Melawati hari ini.

Ibu pelajar tingkatan empat itu Nagoor Begum, 46, berkata bantuan berkenaan meringankan beban suaminya Nagor Assan Gani Me Mohd Ibrahim Rowter, 55, yang bekerja sebagai buruh.

“Wang yang ada boleh gunakan untuk keperluan lain. Hanya suami yang kerja jadi semua perbelanjaan kena rancang elok-elok,” katanya.

S Tennarasi

Sementara itu suri rumah S Tennarasi, 36, berkata sumbangan terbabit digunakan untuk membeli pakaian sekolah tiga anaknya.

“Sepasang baju berharga RM30 hingga RM40. Jadi duit ini cukup untuk tiga anak yang bersekolah.

“Ini kali pertama anak saya dapat. Walaupun hanya seorang yang terima tapi bantuan boleh gunakan untuk dua lagi kakaknya. Harap bantuan seperti ini diadakan setiap tahun,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada MBI kepada 300 pelajar kurang berkemampuan.