Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir syukur dapat seragam sekolah anak di bazaar percuma

SHAH ALAM, 9 JAN: Seorang ibu yang terkesan banjir bersyukur kerana dapat mengambil seragam sekolah untuk anaknya di Program Bazaar Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda di sini.

Jurujual Tan Siew Chan, 41, berkata dia sebelum ini amat bimbang tidak dapat menyediakan pakaian itu memandangkan anak sulungnya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

“Saya dah pergi ke merata tempat pemberian pakaian percuma dan hanya di sini sahaja ada pakaian sekolah. Saya amat berterima kasih jika tidak apa yang akan dipakai anak saya ke sekolah esok.

“Selain pakaian, saya juga ambil beg sekolah untuk dua anak yang juga masih bersekolah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Has Araddin Maali

Sementara itu, pekerja kilang Has Araddin Maali, 36, berkata dia mengambil pakaian bukan untuk dirinya sahaja malah untuk isteri, anak dan juga ibu bapanya.

“Nak beli pakaian baru duit tidak mencukupi kerana perlu beli makanan jadi bila ada tempat menyediakan pakaian percuma adalah lebih baik ambil sahaja di sini.

“Lagi pun pakaian di sini walaupun terpakai tetapi dijaga dengan baik selaian terdapat juga pakaian yang baru,” katanya.

Bazaar Pakaian Percuma diadakan selama dua hari sejak semalam di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda yang menyediakan pelbagai pakaian untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak.