Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 8,219 keluarga terima bantuan banjir RM1,000

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 8,219 keluarga terjejas banjir di negeri ini memperoleh bantuan berjumlah RM1,000 setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM8.239 juta menerusi inisiatif Selangor Bangkit.

“Kerajaan Negeri akan memulakan proses penyerahan sumbangan rumah ke rumah bagi memudahkan rakyat menerima bantuan,” katanya menerusi Twitter.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah tiga minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung bulan ini.