Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Kerja lebih keras, siap sedia tangani bencana masa depan

SHAH ALAM, 24 JAN: Semua pihak termasuk penjawat awam harus bekerja lebih keras bagi menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan bencana yang menuntut persediaan dan pergerakan pantas pihak berkaitan seperti bulan lalu berulang pada masa akan datang.

“Saya berterima kasih kepada pegawai daerah yang tak tidur, menerima kritikan dan mendapat bantahan tetapi masih terus bekerja keras laksana perubahan.

“Suasana akan datang mungkin lebih kerap. Silap-silap tiga tahun lagi boleh berlaku (bencana) kerana ini yang sedang kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri sentiasa bergerak pantas melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kepentingan rakyat seperti saringan percuma dan vaksinasi Covid-19.

“Itu antara contoh manifestasi dan terbaharu ketika banjir, saya lihat kita pantas bergerak kerana sudah dilatih dengan perubahan,” katanya.