Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Peruntuk RM4 juta bantuan sekolah, manfaat 40,000 murid terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri melaksanakan program Kembali Ke Sekolah khusus untuk murid yang terkesan akibat banjir pada Februari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM4 juta diperuntuk untuk menjayakan inisiatif tersebut yang dijangka memanfaatkan seramai 40,000 murid.

“Mekanisme pelaksanaan program tersebut sedang diperkemaskan dan kita akan laksanakan pada Februari nanti di setiap daerah melalui senarai nama ketua keluarga yang kita ada.

“Capaian atau kajian penerima layak dibuat oleh Kerajaan Negeri, agensi serta pemimpin akar umbi seperti ketua kampung dan ahli majlis. Kita harap inisiatif ini meringankan beban keluarga terkesan banjir,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata semua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di negeri ini ditutup sepenuhnya.

“Sebelum ini seramai 47,762 mangsa daripada 11,237 keluarga ditempatkan di 227 PPS. Dua PPS yang menempatkan 40 mangsa banjir daripada 12 keluarga di Kuala Langat juga ditutup dan mereka berpindah ke rumah masing-masing pagi  semalam,” katanya.