Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah kematian Serbegeth Singh

SHAH ALAM, 12 JAN: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh yang meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway, Iskandar Puteri hari ini.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat kepada Serbegeth Singh atau dikenali sebagai Shebby yang meninggal dunia hari ini.

“Mendiang merupakan bekas pemain pertahanan pasukan kebangsaan serta pengulas bola sepak yang terkenal,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan Shebby dipercayai terbabas ketika berbasikal di lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

Shebby, 61, merupakan bekas pemain negara yang pernah beraksi untuk pasukan Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang sebelum bersara pada 1996.

Lahir pada 20 Ogos 1960, bakat Shebby yang berasal dari Kluang, Johor dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Mendiang S Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1983, satu tindakan kontroversi menyaksikan Shebby digantung setahun oleh Johor atas alasan berpindah tanpa kebenaran.

Menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989 dan gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai seorang pemain pertahanan kental sepanjang kerjaya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).