Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MBI peruntuk RM1.68 juta bantu hampir 17,000 pelajar sekolah rendah

SUBANG, 21 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.68 juta menerusi Program Kembali ke Sekolah (Back To School) tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata sumbangan berbentuk baucar itu dijangka memanfaatkan seramai 16,800 pelajar daripada sekolah rendah.

“Baucar persekolahan ini untuk 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya diagih kepada 300 penerima yang berkelayakan dan memenuhi syarat.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas menyampaikan komputer riba kepada pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 21 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Peruntukan untuk tujuan ini telah diberikan kepada setiap DUN dan kita jangka agihan kepada penerima selesai pada Mac depan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan dua unit komputer riba kepada Ahmad Rosli dan Muhammad, pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001 di Kampung Tengah Puchong hari ini.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

Peruntukan itu tidak hanya fokus kepada bakul makanan dan manusia sahaja tetapi juga kepada alam sekitar, haiwan selain untuk program keagamaan.