GOMBAK, 24 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dijangka memperuntukan RM30 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun ini.
Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata agihan diberi mengikut kategori seperti hal ehwal Islam, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukan, alam sekitar dan perayaan.
“Jumlahnya belum rasmi lagi…namun dijangka sama seperti tahun lalu sekitar RM30 juta untuk program-program CSR,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Sumbangan MBI di Surau Malabar Hidayatul Islam, Selayang di sini semalam.
Pada program itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Sekolah Taman Permata yang mengalami kebakaran, sumbangan RM20,000 kepada pertubuhan anak yatim di Kajang dan bantuan bakul makanan.