SHAH ALAM, 29 JAN: Seramai 50 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena Tahun Baharu Cina.
Mereka menerima tunai RM250 dan hamper yang diserahkan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir di ibu pejabat MBPJ baru-baru ini.
Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut program tahunan itu bagi meringankan beban penduduk terutama ibu tunggal, warga emas dan mempunyai tanggungan ramai.
“Program ini juga untuk mendekati, membantu dan memberi perhatian kepada golongan berkenaan bagi mengeratkan lagi hubungan mesra dan kasih antara MBPJ dan masyarakat,” katanya.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, penerima sumbangan berdaftar bawah Program Pembangunan Komuniti Bandar MBPJ bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk miskin bandar.
Jelas unit tersebut, program itu juga selaras konsep 10 Program Berimpak Tinggi dalam pelan pembangunan bandar yang menumpukan golongan miskin bandar.
“MBPJ turut memfokuskan kesejahteraan komuniti selain membantu golongan B40 untuk menikmati hari perayaan yang disambut,” katanya lagi.