Categories
PBT SELANGOR

MBPJ selesai bersihkan sisa banjir di Kampung Baru Hicom

SHAH ALAM, 3 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membersihkan sampah pascabanjir di Jalan Bunga Tanjung 4a dan Jalan Bunga Tanjung 1, Kampung Baru Hicom di sini hari ini.

Laporan dikongsikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menunjukkan seramai 19 orang terlibat iaitu enam anggota Skuad Pantas, sukarelawan (tiga), pegawai (dua) dan baki ialah pemandu.

Pembersihan mulai jam 8 pagi tadi menggunakan beberapa logistik antaranya dua pickup, van dan van pantas, lori, lori Roll-on-Roll-off (Roro) tiga dan lima tan, pengorek kaut serta pancutan air.

Kesemua tugasan terbabit tamat jam 2.50 petang dengan lima perjalanan membuang sisa banjir.

Kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir giat dilakukan sejak 20 Disember melibatkan kerjasama banyak pihak antaranya PBT dan sukarelawan bersama KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pagi tadi, Majlis Bandaraya Shah Alam memaklumkan sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbirannya mulai hujung Disember hingga semalam.