Categories
PBT SELANGOR

MPKS laksana parkir berbayar di lima lokasi baharu mulai Mac

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan melaksanakan sistem tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di lima lokasi baharu mulai 1 Mac depan.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata sistem TLK fasa dua itu membabitkan kawasan Pasir Penambang, Eco Grandeur, Ijok, Kuala Selangor dan Sungai Buloh Sasaran.

“Pelaksanaan sistem TLK bertujuan mengawal aktiviti salah guna tapak parkir dan memastikan perancangan bandar lebih tersusun serta teratur,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam manakala waktu operasi bermula 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Menurutnya, bayaran boleh dibuat melalui sistem dalam talian Smart Selangor Parking atau Flexi Parking manakala pas bulanan diperoleh melalui ejen dilantik.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-3289 7385 sambungan 30.