Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri bela kebajikan mangsa bah, bantu mulakan hidup baharu

SHAH ALAM, 4 JAN: Kebajikan mangsa banjir negeri ini diurus sebaik mungkin bagi meringankan beban mereka untuk memulakan kehidupan baharu pascabencana.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah berkata bantuan meliputi aspek keselamatan, perubatan, baik pulih kediaman, pembersihan dan kewangan.

Beliau menjelaskan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan peruntukan RM100 juta diagih segera berikutan sesi persekolahan dibuka minggu depan.

“Tidak lama lagi kita akan sambut puasa dan Hari Raya Aidilfitri pula, jadi banyak perkara yang kita kena bantu,” katanya dalam program bual bicara di Facebook Media Selangor malam ini.

Borhan menambah proses permohonan bantuan juga dipermudah dengan mangsa hanya perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung atau wakil rakyat.

Seramai 8,219 keluarga terjejas banjir di negeri ini memperoleh bantuan RM1,000 melalui BSB dengan kos keseluruhan RM8.239 juta setakat ini, yang dijangka selesai hujung Januari.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter turut memaklumkan sumbangan itu akan diagih dari rumah ke rumah bagi memudahkan mangsa.