SHAH ALAM, 12 JAN: Nasib sepasang adik-beradik bisu yang nyaris dipatuk ular tedung ketika banjir melanda Kampung Bukit Lanchong di sini bulan lepas mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Kediaman Robaiyah Mohamad, 65, dan Rohani Mohamad, 58, yang rosak teruk akibat bencana akan dibaik pulih sebaik proses bancian selesai dijalankan agensi berkenaan dijangka pada Februari ini.
Sepupu mereka, Suhaina Samsudin, 38, berkata dia bersyukur kerana rumah didiami kedua-dua wanita terbabit sejak lebih empat dekad akan dibaiki terutama siling dari ruang dapur yang dipercayai menjadi laluan masuk haiwan berbisa itu.
“Risau juga sebab ketika banjir baru-baru ini, dua ekor ular tedung hitam masuk ke rumah dan mereka berdua hampir dipatuk. Syukur tiada apa-apa kerana mereka cepat-cepat keluar selamatkan diri dalam limpahan air banjir,” katanya ketika ditemui Selangorkini.
Terdahulu, Robaiyah dan Rohani antara 25 asnaf fakir di kampung berkenaan yang dikenal pasti layak mendapat bantuan baik pulih itu selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop hari ini.
Bercerita lanjut, Suhaina yang saban bulan berulang-alik dari Cheras ke Bukit Lanchong sejak 2010 untuk melawat sepupunya itu berkata buat masa ini dia memilih untuk tinggal bersama mereka bagi mengurus bantuan diterima pihak tertentu.
“Kita pun faham keadaan mereka yang tidak boleh bercakap, Jadi, kena ada orang yang boleh bantu lebih-lebih lagi untuk terjemahkan setiap mesej ingin disampaikan mereka,” katanya.
Menurutnya, semasa zaman kanak-kanak sepupunya itu tinggal di hutan bersama keluarga selain tidak bersekolah dan bergaul dengan masyarakat luar.
“Masa mereka banyak dihabiskan dalam hutan. Seingat saya, pada usia belasan tahun baru mereka berpindah ke sini bersama ibu bapa termasuk dua beradik lain.
“Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka dan kakak sudah meninggal dunia manakala adik lelaki menghilangkan diri sehingga sekarang. Jadi, kehidupan mereka amat susah,” katanya.