Categories
AGENDA NASIONAL

OUM bantu ringan beban 30 pelajar terjejas banjir

SHAH ALAM, 17 JAN: Open University Malaysia (OUM) membantu 30 pelajarnya yang terjejas akibat bencana banjir pada Disember tahun lalu.

Universiti itu menerusi kenyataan memaklumkan bantuan kewangan berjumlah antara RM1,000 hingga RM2,000 kepada mereka adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha meringankan beban ditanggung.

“OUM amat bersimpati dengana musibah melanda pelajar kami dan berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka dalam menghadapi situasi sukar,” maklum kenyataan itu.

Bantuan itu disampaikan Pengurus Besar (Operasi dan Pengalaman Pelajar) OUM Prof Dr Siti Aishah Hashim Ali di Pusat Pembelajaran Shah Alam, di sini semalam.

Pengurus Besar (Operasi dan Pengalaman Pelajar) Open University Malaysia (OUM) Prof Dr Siti Aishah Hashim Ali dan pengurusan universiti bersama pelajar selepas majlis penyerahan bantuan banjir di Pusat Pembelajaran Shah Alam pada 16 Januari 2022. Foto ihsan OUM

Sebelum ini, OUM melalui Kelab Meteor turut menggerakkan Skuad Bantuan Bencana bagi membersihkan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding pada 23 Disember dan Taman Sri Muda (25 Disember).

Menerusi program itu, OUM juga menyumbang 200 kit bantuan pascabanjir seperti toto, bantal, selimut dan tuala.